Saya melabur untuk senangkan keluarga, pergi umrah – Mangsa

WhatsApp Image 2025 05 13 at 2.00.11 PM

Lutfi (kiri) ketika ditemui di luar pekarangan SC, Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – “Niat saya melabur nak kesenangan keluarga, pergi umrah,”kata pesara syarikat penerbangan, Lutfi Daud, 60, seorang daripada 232 mangsa didakwa ditipu skim pelaburan Islamic Redeemable Preference Shares (i-RPS).

Dia antara mangsa yang membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) serta tampil mengajukan aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia berhabis wang kira-kira RM250,000 hasil daripada skim pemisahan sukarela (VSS) diperolehi pada 2014 dan wang pence untuk pelaburan tersebut yang diketahuinya menerusi Facebook.

“Kemudian saya terus berhubung dengan ejen. Kali pertama dividen masuk ‘cantik’ dan saya bercadang membuat pelaburan kali kedua. Saya berjumpa sendiri dengan pengerusi syarikat tersebut dalam satu program, selain membawa isteri saya untuk melabur sama.

“Kali kedua saya terima dividen dan ia masuk ‘cantik’ saja. Namun untuk dividen kali ketiga, berlaku kelewatan dan saya tak sedap hati. Jadi saya buat aduan kepada MHO supaya aktiviti ini dihentikan selepas saya rasa tertipu,”katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan bangunan SC di sini hari ini.

Lutfi berkata, disebabkan pelaburan saham tersebut, dia dan keluarga pernah dipandang rendah oleh orang sekeliling.

“Kami sangat terasa dan terkesan, ada yang pandang rendah mengatakan dengan kata-kata tak baik, mengatakan kami tak cerdik,”ujarnya.

Pelabur, Abdullah Faizi, 30, berkata, dia menanggung kerugian kira-kira RM400,000 selepas melabur dalam skim i-RPS dan dia tertarik menyertai pelaburan tersebut selepas meneliti portfolio dikemukakan syarikat.

“Saya melabur di syarikat itu selepas bertemu dengan seorang ejen di satu kedai makan. Saya terlibat untuk projek pertama dan tidak ada masalah apabila bayaran dividen diberikan.

“Mereka mengemukakan projek baharu dengan portfolio yang kemas serta meyakinkan pelabur. Dividen kali kedua turut diberikan, namun untuk pembayaran dividen kali ketiga, ia berdepan masalah dan saya syak sesuatu,”katanya.

Ujarnya, kerugian yang dialami itu juga memberi kesan kepadanya apabila tidak dapat mengembangkan perniagaan sedia ada sebagai pengusaha tadika. – https://amiminerals.org/