‘Saya mahu lahirkan lebih ramai pelajar ada kepelbagaian, versatil’

anugerah baru

Muhammad Asif (kanan) menerima Anugerah Emas daripada Fadhlina Sidek bersempena istiadat Konvokesyen IPG KPM ke 14 tahun 2024 di PICC, Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA – “Harapan saya adalah untuk melahirkan lebih ramai murid bukan sahaja fokus kepada akademik semata-mata, namun juga membina kemahiran mereka dengan memiliki kepelbagaian.’’

Itu tekad yang disuarakan pe­nerima Anugerah Emas sempena Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan (KPM) ke-14 Tahun 2024, Muhammad Asif Mohd. Fahmi ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini baru-baru ini

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, beliau tekad untuk mencapai misi tersebut dengan melahirkan lebih ramai murid yang mempunyai pencapaian sepertinya dizahirkan selepas beliau ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Menjalara, Kepong pada September lalu.

“Saya mahu cuba melahirkan murid yang bukan sahaja memfokuskan kepada akademik, namun akan mempelbagaikan kepelbagaian mereka dalam pelbagai aspek seperti rohani, jas­mani, emosi dan sebagainya,” kata beliau.

Muhammad Asif adalah antara 6,382 graduan yang menyertai Istiadat Konvokesyen IPG KPM ke-14 Tahun 2024 di PICC bermula 3 hingga 7 November lalu.

Istiadat konvokesyen itu melibatkan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP), Program Diploma Perguruan (PDP) dan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) dari 28 kampus IPG seluruh negara.

pix rektor IPG.jpg67
Mohd. Azam menyampaikan ucapan aluan.

Majlis itu juga diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut me­nyampaikan ijazah kepada graduan terlibat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai resepi kejayaan meng­ungguli Anugerah Emas, Muhammad Asif berkata, pengurusan masa sebagai seorang pelajar me­rupakan antara elemen terpenting yang perlu diikuti.

“Kebiasaannya, saya akan sediakan jadual sehari sebelum tentang apa yang akan dibuat pada hari esok. Contohnya, saya akan bahagi masa seperti pada waktu pagi, petang dan malam.

“Saya juga sudah terbiasa tidur lewat sekitar pukul 1 pagi kerana saya fokus untuk ­menyiapkan tugasan akademik selepas semua urusan lain selesai,” katanya.

Tambah beliau, antara resepi lain kejayaannya termasuklah mengorbankan masa pada cuti semester untuk pulang ke kampus lebih awal berbanding pelajar lain bagi me­n­yiapkan tugasan yang belum diselesaikan.
Selain Anugerah Emas, dua lagi graduan turut menerima pengiktirafan tertinggi pada istiadat konvokesyen tersebut iaitu menerusi Anugerah Khas Kepimpinan dan Anugerah Khas Kokurikulum.

pix graduan IPG.jpg12
Sebahagian daripada graduan yang bakal berbakti kepada anak bangsa di pelbagai jenis sekolah seluruh negara.

Bagi Anugerah Khas, ia dianuge­rahkan kepada Rexsal Larry Anak Rodney Matu yang merupakan graduan IPG Kampus Tun Abdul Razak, Sarawak dalam pengkhususan Bahasa Melayu.

Anugerah Khas Kokurikulum pula diberikan kepada Jasmine Tay Jing Xuan yang merupakan gra­duan IP Kampus Temenggong Ibrahim susulan penglibatan aktif beliau dalam sukan wushu.

Dalam pada itu, ketika me­nyampaikan ucapan aluan pada majlis itu, Rektor IPG KPM, Dr. Mohd. Azam Ahmad turut menyeru kepada semua gra­duan agar tidak melupakan janji yang dipatrikan menerusi lagu keramat Kami Guru Malaysia.

Menurutnya, perkataan janji yang ditulis dalam lagu itu menterjemahkan amanah dalam mendidik dan membimbing anak bangsa tanpa mengira keturunan, agama serta latar belakang keluarga.

“Inilah kebanggaan seorang guru atau cikgu yang telah dizahirkan dengan lafaz ‘kami bangga menjadi guru’ menerusi lagu IPGM yang dinyanyikan semasa berada di kampus seluruh negara.

“Jangan dilupakan semua ini ke­rana ia adalah nyala rasa kita sebagai seorang guru atau cikgu yang layaknya nanti diungkapkan dengan ungkapan sekali bergelar guru, selama-lamanya tetap guru,” katanya.

Pada masa sama, jelas beliau KPM merupakan sebuah kementerian yang sentiasa berjuang memberikan pendidikan berkualiti untuk anak bangsa melalui reformasi pendidikan.

“Oleh itu, berikanlah yang terbaik untuk menzahirkan bahawa anda sebagai penyambung wa­risan kepemimpinan tertinggi KPM bagi membimbing dan mendidik anak bangsa pada masa depan.

“Sesungguhnya, para graduan adalah benih yang baik, apabila dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung dan dicampak ke langit menjadi bintang kejora menghiasi malam yang indah,” jelasnya. -https://amiminerals.org/