ALOR SETAR – “Saya nampak Mercedes itu melambung dan berpusing lebih tiga kali, waktu itu saya menjerit dan laungkan Subhanallah, Allahuakbar kerana terlalu terkejut”.
Demikian kata peniaga, Raja Asmah Raja Jaafar, 42, yang menyaksikan kemalangan membabitkan kenderaan jenis Mercedes Benz dan Hyundai Matrix berdekatan pusingan U di Jalan Lencong Barat, di sini kira-kira pukul 8.50 malam tadi.
Kejadian itu mengakibatkan pemandu dan seorang penumpang belakang Mercedes Benz maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mangsa dari kereta sama cedera dan kesemua mereka berusia 18 tahun.
Sementara pemandu Hyundai Matrix iaitu lelaki berusia 74 tahun juga mengalami kecederaan.
Menurut Raja Asmah, semasa kejadian dia sedang berniaga di sebuah restoran berhampiran lokasi kemalangan.
“Waktu itu saya baru nak masak ‘lokcing’ dengan mata saya memandang ke arah jalan sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta melambung dan berpusing lebih tiga kali.
“Kereta itu kemudian berhenti di atas pembahagi jalan dan saya tergamam apabila melihat ada satu mangsa di atas bumbung kereta itu dan ada beberapa lagi mangsa bergelimpangan di jalan raya,”katanya ketika ditemui malam tadi.
Katanya, mangsa yang berada di atas bumbung Mercedes Benz dan seorang lagi yang tercampak di atas jalan raya sudah tidak bergerak sebelum disahkan telah meninggal dunia.
Sementara itu, katanya, kawasan itu kerap berlaku kemalangan kerana kebanyakan kenderaan dipandu laju dan gagal mengelak kenderaan lain yang membuat pusingan U di situ.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Mercedes dari arah Tol Alor Setar Selatan menghala ke Masjid Aman berlanggar dengan Hyundai Matrix yang sedang membuat pusingan U dari arah bertentangan. – https://amiminerals.org/