Saya akan terus laksana tanggungjawab tanpa gangguan, kompromi – PM

WhatsApp Image 2025 06 04 at 8.28.27 PM

Anwar.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua kerajaan tanpa gangguan atau kompromi, meskipun Mahkamah Tinggi menolak permohonannya merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.

Menurut beliau, keputusan itu tidak akan menjejaskan komitmennya terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan institusi kehakiman dan maruah sistem pemerintahan demokrasi di negara ini.

“Petang ini, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan saya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, permohonan itu bukan untuk mendapatkan kekebalan peribadi atau melarikan diri daripada semakan undang-undang, sebaliknya adalah berhubung integriti sistem perlembagaan negara.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian bagi memastikan kedudukan jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam tidak mudah terdedah kepada tindakan litigasi yang bermotifkan politik dibuat secara strategik atau boleh menggugat kestabilan institusi.

“Saya kekal komited kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah pemerintahan demokrasi.

“Proses undang-undang akan diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Rujukan persoalan undang-undang itu berkaitan saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar selepas mendapati persoalan dikemukakan bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.

Anwar memfailkan permohonan itu pada 23 Mei lalu. – https://amiminerals.org/