Sarjan mejar diserang strok perlu dana RM50,000

kosmo prihatin

SUI HAU (tengah) ketika melawat Azhar yang sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Pulau Pinang baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar tidak menyangka kehidupannya berubah sekelip mata selepas diserang strok ketika berada di tempat kerjanya pada minggu lalu.

Kejadian yang berlaku secara mengejut membuatkan keluarga Azhar Hussein, 58, buntu memikirkan kos pembedahan anggota keselamatan tersebut yang menelan belanja yang besar.

Azhar memerlukan bantuan sebanyak RM50,000 bagi menjalani pembedahan tersebut dalam masa terdekat.

Isterinya, Zainora Zainuddin, 56, merupakan seorang suri rumah, manakala dua anak perempuan Azhar yang berusia 26 dan 32 tahun pula bekerja kilang

Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Azhar yang bertugas di negeri ini dikatakan rebah secara tiba-tiba sebelum mesyuarat bermula di pejabatnya pada pukul 10 pagi hari kejadian.

“Beliau dikatakan rebah di tempat duduknya dengan tangan dan kaki kiri tidak dapat berge­rak.

“Selepas dikejarkan ke hospital, doktor mendapati ada darah beku pada otaknya dan suntikan untuk melarutkan darah beku tidak memberi kesan yang mencukupi.

“Doktor menasihatkan keluarga agar Azhar segera menjalani prosedur trombektomi mekanikal di hospital pakar,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Sui Hau, pihaknya sedaya upaya akan membantu mengumpul dana berjumlah RM50,000 supaya pembedahan ke atas Azhar dapat dijalankan mengikut jadual ditetapkan.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad bernombor 3193433435 atas nama One Hope Charity & Welfare atau layari onehopecharity.org.

Sebarang pertanyaan boleh dihubungi menerusi talian hotline 04-539 9212.