PETALING JAYA – Apabila pergi ke pasar membeli ayam, hampir setiap orang tidak mahu atau menolak bahagian seperti kaki ayam, hati, pedal atau organ dalaman yang lain kerana menganggap leceh untuk disimpan.
Bagaimanapun, bahagian-bahagian ayam yang ‘dibuang’ ini ternyata menjadi ‘penyelamat’ buat keluarga memerlukan demi mengisi perut yang masih kosong.
Kisah tersebut diceritakan oleh isteri kepada seorang peniaga ayam di Pahang menerusi akaun Facebook Lola Diana Tradisional.
Kebiasaannya, suaminya sering mengumpulkan bahagian-bahagian ayam yang pelanggan tidak mahu itu sebelum diberikan kepada orang lain.
“Lepas dah hantar pada kakak sulung, esoknya, saya terima pesanan yang sangat panjang dalam aplikasi WhatsApp dari kakak.
“Kakak kata dia bungkus dan agihkan pada jiran-jiran semua sebab kuantiti terlampau banyak. Tetapi kakak kata ada seorang jiran mesej ucapkan terima kasih atas pemberian kaki dan organ dalaman ayam itu.
“Jiran tu kata, memang betul-betul rezeki tak disangka sebab dah dua hari anak-beranak tak makan. Suaminya kena tangkap sebab mencuri. Makanan pula memang langsung dah tak ada di rumah,”ceritanya.
Tambah pengguna itu, kakaknya siap berpesan agar tidak membuang bahagian kaki ayam atau organ dalaman yang dianggap ‘sampah’ ini supaya dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Kakak pesan, ‘lepas ni jangan buang lagi kaki ayam. Bagi kak. Kak nak bagi pada jiran-jiran. Kita tak tahu siapa dapat kita selamatkan dari lapar asbab bagi benda yang kita anggap ‘sampah’ ni,”katanya.
Dalam pada itu, pengguna itu turut menyampaikan pesanan agar setiap orang menjaga hak seorang jiran dengan memastikan tiada yang berada dalam kelaparan atau kemiskinan.
Dia juga menasihati orang ramai agar saling bersedekah tanpa mengharapkan balasan atau pujian daripada mana-mana pihak.
“Kita dituntut supaya tidak tidur selagi ada jiran yang masih kelaparan kerana kemiskinan tapi kita langsung tak ambil tahu.
“Paling dahsyat, ada juga yang tak kenal pun jiran-jirannya. Rupa bagaimana. Kerja apa. Anak berapa orang.
“Kadang tu, sampah bagi kita, tapi jadi hidangan hebat bagi satu keluarga yang dalam kesusahan,”tulisnya. – https://amiminerals.org/