Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia terima tajaan RM4.09 juta

hari kebangsaan hari malaysia e1723715777105

Fahmi menerima sumbangan penajaan daripada rakan strategik pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik HKHM 2024 di Putrajaya hari ini. – Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini dan Hari Malaysia di Sabah pada 16 September depan (HKHM 2024) dijangka lebih meriah apabila menerima penajaan bernilai RM4.09 juta.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penajaan diterima Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi itu membabitkan tajaan bernilai RM2.03 dan RM2.06 juta lagi dalam bentuk perarakan HKHM 2024.

Beliau berkata, sumbangan penajaan itu diterima daripada 29 Rakan Strategik Emas dan Rakan Strategik Perak menerusi Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik Kementerian Komunikasi yang memberikan sumbangan penajaan tidak kira berapa pun nilainya, kecil atau besar, sedikit atau banyak, pihak kementerian terima dengan amat berbesar hati.

“Sesungguhnya, sumbangan anda amat bermakna kepada semua rakyat Malaysia dalam menyambut HKHM 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik HKHM 2024 di sini, hari ini.

Katanya, sumbangan penajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Hari Kebangsaan yang digunakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.

Fahmi berkata, sumbangan penajaan bagi barangan pula akan diedarkan dan diagihkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya kelak. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *