KAMPAR – Suami mangsa kemalangan yang maut dalam nahas di Gopeng dekat sini pagi tadi tidak menyangka sambutan penuh kegembiraan hari jadi arwah isterinya merupakan kali yang terakhir semalam.
Menurut Syed Mohamad Asyraf Syed Shamsuddin, 24, sambutan hari jadi arwah isterinya, Allahyarham Suhaili Abdul Razak, 28, itu menjelang setahun mereka membina rumah tangga.
“Malam tadi (semalam) kami berseronok, berbual-bual mesra dan bermanja-manja. Saya hadiahkan sayang (panggilan untuk arwah isteri) dua helai tudung, ”katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampar di sini.
Arwah isterinya selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.45 petang tadi selepas lebih 100 orang menyertai solat jenazah Allahyarham di Surau As-Solihin, Kampung Tersusun Batu Putih.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut manakala suaminya cedera dalam nahas melibatkan sebuah lori ais dan treler di Kilometer (KM) 20.3, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Stesen Petronas Kampung Kepayang di Gopeng kira-kira pukul 5.40 pagi tadi. – https://amiminerals.org/