Sahabat Maritim bantu APMM pantau perairan negara

WhatsApp Image 2025 05 02 at 10.38.41 AM

Mohamad Shukri (tiga dari kanan) dan May Ing (tiga dari kiri) ketika mengadakan pertemuan di Pejabat ADUN Pantai Remis dekat Lumut kelmarin. – Foto IHSAN APMM

LUMUT – Pewujudan inisiatif Sahabat Maritim oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah bermatlamat memperkukuh penglibatan komuniti berkaitan sekali gus mempercepatkan penyampaian maklumat kepada agensi tersebut serta membantu pemantauan insiden di laut.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, inisiatif yang merupakan jaringan sokongan dalam kalangan penduduk tempatan itu adalah satu daripada cara APMM memperkukuh perairan negara.

“Kita mahu membina ekosistem keselamatan laut yang mampan berpaksikan komuniti. Ini bukan sekadar tugas APMM tetapi adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing bersama komuniti nelayan setempat di Pejabat ADUN Pantai Remis di sini kelmarin.

Mohamad Shukri berkata, langkah proaktif itu membuktikan keseriusan APMM dalam memperkukuh keselamatan perairan negara dan membela nasib para nelayan tempatan.

Dalam pada itu, sesi dialog itu memberi ruang terbuka kepada nelayan untuk menyuarakan isu-isu mendesak termasuk ancaman daripada penguasa asing yang mengganggu aktiviti penangkapan ikan di perairan tempatan.

Pada masa sama, May Ing menzahirkan penghargaan atas tindakan tegas dan pantas pihak APMM dalam melindungi hak dan keselamatan nelayan, sambil menyeru agar sokongan seumpama ini diteruskan secara konsisten.

“Insiden peralatan dirampas dan hasil tangkapan dilupuskan amat merugikan nelayan tempatan. Mereka perlu dilindungi,”katanya. – https://amiminerals.org/