SA Sentral nadi baharu bandar raya Shah Alam

Shah Alam 2

AMIRUDIN (tengah) bergambar bersama rakan strategik pada Majlis Pelancaran SA Sentral, di GalleriaSentral, Shah Alam kelmarin. – SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Pembangunan ikonik bandar berimpak tinggi, Shah Alam Sentral (SA Sentral) bakal mentransformasikan bandar raya ini menjadi daerah perniagaan pusat (CBD) dinamik dan berdaya saing dengan Kuala Lumpur.

Projek milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 dengan nilai pemba­ngunan kasar (GDV) RM3 bilion itu akan disiapkan dalam tujuh tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, SA Sentral berkeluasan 64.7 hektar itu berkonsepkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) iaitu semua bangunan dihubungkan antara satu sama lain.

Katanya, ia meliputi komponen pembangunan Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, SACC Mall, SACC Walk, Kompleks PKNS dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

“Kemudahan prasarananya merangkumi ruang pejabat, peruncitan, hotel, kemudahan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran), kediaman dan pusat kebudayaan.

“SA Sentral turut memfokuskan pembangunan rendah karbon dengan dilengkapi bas elektrik, tempat letak kereta berpusat dan laluan pejalan kaki berbumbung, sekali gus menjadikannya bandar yang mudah diakses kelak,” katanya.

Pelancaran projek berprestij itu disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Galeria SA Sentral di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, PKNS turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan lima rakan kongsi strategik iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), Amverton Prop, IKEA dan KRU Entertainment.

Menurut Mahmud, Shah Alam sejak sekian lama kekurangan daya tarikan yang memikat generasi Gen Z dan anak muda.

Shah ALam 1
AMIRUDIN dan Mahmud (empat dari kanan) melihat model pembangunan bandar Shah Alam Sentral.

“Menerusi SA Sentral, PKNS mahu mengisi jurang itu yang sesuai dengan keperluan pasaran semasa dan menjadikan ia destinasi pilihan bagi golongan profesional muda, keluarga dan perniagaan.

“Diposisikan sebagai nadi bandar raya ini, ia bakal menjadi pemangkin transformasi dan pembangunannya akan membentuk komuniti lebih dinamik,” ujarnya.

Kata beliau, projek itu diharap memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negeri menerusi peluang pekerjaan baharu, tarikan pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Pembangunan ikonik PKNS itu bagi mentakrifkan semula Shah Alam yang juga ibu negeri Selangor sebagai destinasi setaraf dengan Kuala Lumpur dan kawasan pusat perniagaan lain.

“Selain meningkatkan daya tarikan kepada pelbagai lapisan masyarakat, ia bakal menyediakan ekosistem ideal bagi perniagaan dan usahawan serta merealisasikan hasrat menjadi segi tiga emas baharu di negeri ini,” ujarnya.

Tambah Mahmud, visi pihaknya mahu memangkin pertumbuhan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat menerusi lokasi dipenuhi peluang perniagaan, pekerjaan serta kualiti hidup lebih baik.

“SA Sentral akan menjadi sebuah hab dinamik, menyatukan masyarakat dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Ia juga bakal nadi bandar raya Shah Alam untuk membawa era baharu di kawasan itu selaras dengan inisiatif Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menjadi negeri pintar dan prihatin,” katanya.

Terletak di tengah pusat bandar, SA Sentral berada hanya 25 hingga 30 meter dari stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Dato’ Menteri dan lokasi menghubungkan seluruh kawasan Lembah Klang.

Selain itu, pembangunannya dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, fasiliti ke­sihatan dan institusi pendidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *