GEORGE TOWN – Kelicikan seorang lelaki tempatan menjadikan rumah teres di Kampung Jawa, Bayan Lepas di sini sebagai port menyeleweng barang kawalan bersubsidi iaitu Gas Petroleum Cecair (LPG) sejak enam bulan lalu akhirnya memakan diri.
Perbuatan lelaki berusia 40-an itu terbongkar selepas sepasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang menyerbu kediaman berkenaan, kira-kira pukul 2 petang tadi.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan yang telah dilakukan pihaknya selama tiga minggu sebelum operasi dilancarkan.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan mendapati seorang lelaki tempatan sedang memindahkan cecair gas petroleum daripada tong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg) ke tong gas LPG bersaiz 50kg.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah lori di kawasan premis tersebut yang mengandungi pelbagai tong gas LPG termasuk yang berisi dan tidak berisi, daripada pelbagai jenama.
“Pemeriksaan terhadap dokumen pemilikan lesen dan permit mendapati bahawa pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan dengan pemilikan dan penyimpanan barang kawalan berjadual, iaitu tong gas LPG,” katanya pada sidang akhbar di sini, petang tadi.
Beliau berkata, beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan tersebut termasuk sebuah lori telah disita untuk tindakan selanjutnya.
Dalam serbuan tersebut, sebanyak 90 tong gas LPG pelbagai jenama termasuk yang berisi dan tidak berisi serta beberapa dokumen telah disita, melibatkan jumlah rampasan LPG dianggarkan sebanyak 498kg dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM30,546.20.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, aktiviti penyelewengan yang berskala kecil itu merupakan tangkapan pertama pihaknya pada tahun ini.
“Kita mengesyaki lokasi ini yang merupakan kediaman keluarga mentua lelaki terbabit hanya dijadikan sebagai tempat pemindahan gas petroleum sebelum dipindahkan ke lokasi lain termasuk kepada pelanggan di syarikat industri.
“Aktiviti ini memang amat bahaya kerana pemindahan gas ini dilakukan di kawasan kediaman penduduk tanpa sebarang prosidur keselamatan. Hanya letak kampit ais untuk bantu proses pemindahan gas.
“Kawasan ini (perumahan teres) juga kompak, bila-bila masa boleh tercetus kemalangan dan menyebabkan berlakunya letupan,” tegasnya.
Justeru katanya, KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. -https://amiminerals.org/