GUA MUSANG – Penduduk Kampung Limau Kasturi yang tinggal di pinggir Sungai Galas di sini merayu satu kawasan penempatan baharu dapat disediakan kepada mereka apabila sering terjejas setiap kali banjir akibat limpahan sungai tersebut.
Seorang penduduk, Ahmad Ab. Rahman, 46, berkata, Kampung Limau Kasturi merupakan sebuah kampung tradisional yang wujud lebih 50 tahun laluperlu dinaik taraf termasuk jalan serta jambatan perhubungan.
“Nampaknya inilah nasib kami yang berumah di lokasi rendah. Air Sungai Galas sudah dua kali melimpah ke kawasan penempatan kami dalam tempoh dua minggu.
“Akibatnya kami terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, lebih 10 keluarga diselubungi kebimbangan setiap kali hujan lebat berterusan kerana rumah mereka pasti terkepung banjir.
“Masalah banjir di kawasan rendah bukan hanya berlaku ketika musim tengkujuh, tetapi hujan lebat berterusan lebih tiga jam pada hari biasa.
“Saya percaya isu banjir boleh diatasi jika kerajaan buat penempatan baharu. Kampung Limau Kasturi pada asalnya merupakan kawasan laluan sungai dan kereta api sebelum penduduk membuka tanah kebun,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Haminah Said, 77, berkata, penduduk kampung yang terlibat banjir wajar diberi penempatan baharu yang lebih selesa dan selamat.
“Rumah keluarga saya musnah dihanyut arus Sungai Galas ketika bah kuning pada 2014. Selepas banjir besar itu, saya keluar kos sendiri membaiki kerosakan rumah. Kediaman saya kosong dan tiada perabot kerana bimbang dihanyut air banjir.
“Saya berharap ada pihak yang dapat menyediakan penempatan baharu kepada penduduk yang sering terjejas banjir dan berada di kawasan rendah atau pinggir sungai,” katanya.