PETALING JAYA – Pelakon Diana Danielle berharap golongan suami berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan rumah tangga dan bukannya dilakukan di mahkamah pada hari perceraian.
Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, golongan isteri mahu melihat kesungguhan tersebut sepanjang tempoh perkahwinan.
“Perempuan nak tengok usaha dalam perkahwinan, bukan ketika sudah berada di pintu mahkamah.
“Tolong jangan dijadikan kebiasaan, terhantuk baru nak usaha,”katanya dalam Instagram.
Katanya, usaha untuk menyelamatkan perkahwinan perlu dilakukan sejak awal dan jangan dibiarkan melarat sehingga isteri tawar hati
“Kalau nak, peliharalah sejak awal, bukan bila sudah tak boleh diselamatkan.
“Selepas itu salahkan wanita yang sudah tidak mampu untuk memaafkan,”ujarnya.
Dalam masa sama, bintang filem Imaginur itu juga meminta orang ramai tidak mengaitkan dirinya dan suami, Farid Kamil dengan kisah perceraian orang lain.
“Tolong jangan harap setiap orang mengikut cara individu lain. Harap berhenti kaitkan isu orang lain dengan saya dan suami.
“Setiap orang mempunyai mempunyai masalah sendiri untuk diuruskan. Kami pun masih dalam fasa mencari titik keserasian dalam ‘alam baru’.
“Sangat mencabar dan rujuk bukan untuk semua orang,”ujarnya lagi.
Menerusi perkongsian tersebut, Diana turut memuat tangkap layar sebuah artikel bertajuk ‘Suami perlu contohi usaha Farid Kamil dalam pertahankan rumah tangga – Netizen’.
Sebelum ini, Farid dan Diana pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara atas talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos lalu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – https://amiminerals.org/