LIPIS – Rancangan Petempatan Semula (RPS) Betau, Mukim Jelai di sini dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha meningkatkan pembangunan dari aspek infrastruktur dan pendidikan masyarakat Orang Asli.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan kampung itu juga mengambil kira Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau sebagai Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) yang menempatkan murid Orang Asli daripada pra sekolah hingga tingkatan lima daripada 18 kampung.
“Sebenarnya mesej kita dengan adanya kampung angkat ini adalah untuk memastikan dalam konteks KPM akses pendidikan untuk anak-anak Orang Asli, ini dapat kita pastikan dalam aspek kemenjadian mereka tidak terputus dan tidak terpinggir.
“Saya ingat secara keseluruhanya, kerana kita dalam agenda mengangkat pendidikan dan akses pendidikan Orang Asli dan ini antara kejayaan terbesar kita,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KPM Tahun 2024 di SMK RPS Betau di sini hari ini.
Fadhlina berkata, SMK RPS Betau yang dipilih sebagai sekolah K11 pada Mac tahun lalu juga menjadi Sekolah Angkat KPM kerana tumpuan bagi melihat penanda aras sekolah terbabit untuk dibawa ke sekolah lain mengikut keperluan. – https://amiminerals.org/