Rogol amah: Ahli perniagaan dibenar semak keputusan Mahkamah Rayuan

WhatsApp Image 2023 03 06 at 5.40.05 PM

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang ahli perniagaan dibenar menyemak keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan dikenakan lima sebatan kerana merogol pembantu rumahnya yang juga warganegara Indonesia, pada 2016.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali membenarkan permohonan Sufian Sulaiman, 50, untuk menyemak keputusan satu panel lain Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman itu pada 27 Julai 2023.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Lim Chong Fong dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara berpuas hati wujud keadaan khas yang mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

“Kami bersetuju dengan hujahan peguam bahawa pemohon tidak diberikan hak untuk didengar sebelum panel terdahulu menguna pakai peruntukkan undang-undang yang telah dirujuk,”ujar Hakim Che Mohd. Ruzima ketika menyampaikan keputusan tersebut.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu permohonan semakan itu didengar.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu atas alasan keputusan hari ini hanya melibatkan semakan dan panel bersidang tidak mengusik perintah koram terdahulu.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Oktober ini untuk pengurusan semakan.

Pada 27 Julai lalu, satu panel lain Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Sufian untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 14 tahun kepada 12 tahun serta memerintahnya menjalani hukuman penjara bermula serta merta.

Sebelum ini, Sufian dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 18 Mei 2018 kerana merogol mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah di Cheras dekat sini di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi pada Julai 2016. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *