RM34.27 juta bagi projek tebatan banjir Selangor

WhatsApp Image 2024 11 15 at 5.35.05 PM

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Sebanyak RM34.27 juta diperuntukkan bagi memastikan keberkesanan pengurusan pembangunan projek tebatan banjir menerusi Belanjawan Selangor 2025.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini melibatkan Lembangan Sungai Klang dengan peruntukan sebanyak RM18.7 juta, Sungai Langat (RM9.3 juta), Sungai Selangor (RM3.2 juta).

Menurutnya, peruntukkan itu juga meliputi Lembangan Sungai Buloh (RM1 juta) dan beberapa lembangan lain termasuk di Sungai Bernam dan Sungai Kapar Besar dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

“Semua projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera, terutama di Lembangan Sungai Klang kerana pembangunan sangat pesat di lembangan tersebut. Ini mengakibatkan jumlah air larian yang sangat tinggi yang menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat ataupun banjir monsun.

“Selain itu, projek tebatan banjir ini akan dilaksanakan secara sinergi bersama projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai keberkesanan lebih menyeluruh dalam menangani isu banjir di Selangor,”katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Amirudin memberitahu, sistem saliran turut dibangunkan menerusi peruntukkan sebanyak RM2.07 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPNS) agar dapat menampung jumlah hujan dan air larian yang tinggi.

“Selain itu, fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini telah menjejaskan benteng di kawasan pesisiran pantai, terutama di daerah Sabak Bernam dan daerah Kuala Selangor.

“Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta pada tahun 2025 bagi pelaksanaan projek menaiktaraf benteng pantai di kawasan yang terjejas akibat fenomena air pasang besar tersebut,”jelasnya. – KOSMO!ONLINE