RM10.35 juta kompaun kesalahan rokok dalam tempoh 7 bulan

WhatsApp Image 2025 04 30 at 10.40.21 PM

Dr. Zulhizzam bercakap kepada pemberita selepas OperasiPenguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam2024 (Akta 852) di sini, malam ini. Foto oleh AMIR KHALID

KAJANG – Sejumlah 43,455 notis kesalahan dikeluarkan berkaitan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 hingga 20 April lalu.

Menurut Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, Dr. Zulhizzam Abdullah, angka itu membuktikan ketegasan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan pematuhan terhadap akta berkenaan demi kesejahteraan kesihatan awam.

“Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah di bawah Seksyen 16(2) iaitu merokok di kawasan larangan iaitu sebanyak 41,421 notis dengan jumlah kompaun RM10.35 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi penguatkuasaan akta berkenaan di sini, malam ini.

Dalam operasi yang dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor itu, sebanyak 111 notis peringatan dikeluarkan kepada premis kerana gagal mematuhi Peraturan 6 iaitu larangan pameran produk merokok.

“Pihak KKM mengeluarkan 35
pemakluman pematuhan kepada premis sebagai peringatan agar peraturan terus dipatuhi,” ujarnya.

Dr. Zulhizzam berkata, setakat 20 April lalu, sebanyak 338 notis peringatan dikeluarkan di seluruh negara sejak pelaksanaan pendidikan penguatkuasaan Peraturan 6 dimulakan.

Tambahnya, pihak kementerian menyeru semua pihak berkepentingan untuk terus mematuhi peruntukan yang ditetapkan dalam akta ini demi melindungi kesihatan rakyat khususnya golongan rentan dan remaja. – https://amiminerals.org/