RM1 juta buat kontraktor bumiputera – Mara

WhatsApp Image 2024 12 16 at 4.25.01 PM

Asyraf Wajdi menerima kunjungan daripada pihak Perkobf di pejabatnya hari ini.

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan peluang pembiayaan sehingga RM1 juta kepada kontraktor bumiputera melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE).

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menerima kunjungan daripada Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) bagi membincangkan beberapa cadangan penambahbaikan untuk memudahkan kontraktor menerima kemudahan yang disediakan Mara.

Jelasnya, dengan proses kelulusan pantas dalam tempoh dua minggu daripada tarikh penghantaran dokumen lengkap, SPiKE akan membantu kontraktor menampung kos awal projek seperti bahan dan peralatan demi memastikan pelaksanaan berjalan lancar tanpa kekangan kewangan.

“Mara terus komited menyokong kontraktor Bumiputera melalui SPiKE yang menyediakan pembiayaan segera bagi projek kerajaan dan swasta sehingga RM1 juta,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi menambah, Perkobf juga menyatakan komitmen mereka untuk menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ Mara dalam memaklumkan isu dihadapi di lapangan, terutamanya berkaitan kebajikan serta sokongan terhadap usahawan kontraktor bumiputera.

“Terima kasih kepada Perkobf atas kerjasama dan komitmen yang tinggi. Bersama kita bangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh untuk masa depan bumiputera,” ujarnya. – https://amiminerals.org/