PETALING JAYA – Seorang wanita mualaf mengakui adakala dia rindu untuk makan masakan eksotik seperti ular, labi-labi dan katak seperti yang pernah dirasainya sebelum memeluk agama Islam.
Menerusi hantaran pada Thread, wanita itu yang berasal dari Sarawak merupakan etnik Bidayuh dan dia adalah is penganut agama Kristian sebelum mengambil keputusan memeluk Islam.
“Lepas memeluk agama Islam ni, kalau orang tanya aku apa yang aku rasa rindu sangat nak makan, aku jawab lah jujur.
“Rindu daging ular, labi-labi dan katak. Lepas tu dia kata ‘eee geli, geli, geli’. Ngada, tadi tanya,” katanya dengan gaya berseloroh.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Thread, malah ramai daripada umat Islam turut bertanya mengenai rasa daging haiwan tersebut hanya sekadar pengetahuan.
“Panas juga sebenarnya terutama ular. Kita jadi tak penyejuklah maksudnya. Kalau orang lain sejuk, kita belum sejuk lagi.
“Katak rasa lembut dia lebih kepada ikan, bukan burung atau ayam,” katanya yang menjawab pertanyaan pengguna mengenai pengalamannya makan makanan eksotik.
Ujarnya, sebelum masuk agama Islam, wanita itu makan kesemua makanan memandangkan dia etnik Bidayuh.
“Makanan hutan memang makanan turun temurun. Saya tak makan ular sebab saya Kristian, saya makan ular sebab itu makanan bangsa saya.
“Kalau sekarang apa sahaja yang Islam kata haram, saya terima sebagai haram. Ada yang saya tanya ‘kenapa’ dan faham. Ada yang saya tak pernah tanya, tapi ikut saja,” ujarnya.
Selain itu, wanita itu turut menjelaskan mengenai perjalanannya menjadi seorang Muslim.
“Saya Kristian (kadang-kadang), tapi tidaklah terlalu kuat beragama. Hidup ini sangat keras dan saya hilang kepercayaan. Saya berhenti berdoa, jadi seorang yang ‘free thinker’ sekejap.
“Kemudian saya berpindah ke Johor Bahru dan berjumpa ramai orang, kebanyakannya Islam. Saya jumpa dengan suami dan kemudiannya membawa saya untuk menukar agama kepada Islam,” ujarnya. – Iteenews