LANGKAWI – Lebih 3,500 pelancong dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang menikmati fenomena ‘laut terbelah’ yang berlaku selama sejam bermula pukul 5.30 pagi di Pantai Tanjung Rhu di sini hari ini.
Fenomena air surut membelah laut itu membolehkan orang ramai berjalan kaki di atas beting pasir yang dianggarkan sepanjang 600 meter dari Pantai Tanjung Rhu hingga Pulau Chabang, Pulau Penyu dan Pulau Kelam Baya.
Seorang pelancong dari Scotland, Iaian, 70, berkata, dia yang baru tiba di Langkawi tiga hari lalu berasa bertuah kerana mendapat tahu fenomena itu hanya berlaku sekali setahun.
“Saya teruja kerana berpeluang menyaksikan fenomena unik ini. Dapat melihat perubahan warna pada kaki langit yang bermula daripada gelap, jingga seterusnya menjadi cerah yang sangat mengasyikkan,” katanya.
Seorang lagi pelancong dari Scotland, Jacqui, 65, berkata, dia teruja melihat hidupan laut seperti tapak sulaiman, ikan, udang dan ketam terdampar di atas dan berhampiran beting pasir dengan lebih dekat.
“Saya keluar seawal pukul 6 pagi tadi dan orang sudah mula berjalan di atas beting pasir walaupun keadaan masih gelap.
“Memang seronok kerana saya dapat lihat hidupan laut seperti tapak sulaiman, ikan, udang dan ketam secara dekat di habitatnya sendiri,” ujarnya. – https://amiminerals.org/