Restoran tular jual nasi goreng sardin harga berbeza diberi notis

nasi goreng sardin tular viral

KPDNWPKL mengeluarkan notis kepada pemilik restoran di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur selepas tular resit pembayaran memaparkan dua harga berbeza bagi menu nasi goreng sardin.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNWPKL) mengeluarkan notis terhadap sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri di ibu negara susulan tular resit pembayaran yang memaparkan dua harga berbeza bagi jualan nasi goreng sardin.

KPDNWPKL memaklumkan, pihaknya menggerakkan sepasukan anggota bertemu penyelia restoran untuk membantu siasatan mengenai maklumat harga seperti yang dilaporkan pengguna media sosial.

“Menerusi pemeriksaan tanda harga pada buku menu di restoran itu mendapati harga nasi goreng sardin adalah RM9, manakala caj 30 sen bagi bungkusan dinyatakan dengan jelas dalam menu untuk makluman pelanggan.

“Bagi pesanan dan makan di restoran, tiada caj lain dikenakan kecuali harga makanan sahaja termasuk tambahan caj SST sebanyak enam peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, KPDNWPKL memberitahu, notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat terhadap justifikasi perbezaan harga terbabit.

“Katanya, kedua-dua resit itu sudah diserahkan kepada penyelia restoran untuk tindakan lanjut.

“Pihak restoran diberi amaran keras supaya sentiasa mengemas kini tanda harga agar pelanggan tidak keliru, mematuhi undang undang dan tidak mengulangi kesilapan dilakukan.

“Pihak restoran memohon maaf atas isu yang berlaku dan bersedia untuk menghubungi pengadu bagi membuat penjelasan atau sebarang perkara berbangkit,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebuah kedai makan di ibu negara dipercayai mengenakan harga berlainan pada makanan yang sama.

Berdasarkan gambar tular di X, resit pertama, pelanggan itu telah membeli satu nasi goreng sardin dan telur mata masing masing berharga RM7.90 dan RM1.90 yang bertarikh 8 Ogos.

Bagaimanapun, satu lagi resit bertarikh 9 Ogos menunjukkan harga makanan tersebut berubah dan dinaikkan kepada RM9.30 manakala harga bagi telur mata kekal. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *