KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal dinaikinya merempuh sebuah pikap, Ford Everest yang tiba-tiba membelok di Jalan Kampung Atas Tol di sini awal pagi tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 1.28 pagi itu, mangsa, Farid Rizuan Mohamad Hanapiah, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Farid Rizuan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Surau Haji Daud di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 ditungganginya dikatakan gagal mengelak lalu merempuh sebuah kenderaan pikap jenis Ford Everest.
“Kenderaan pikap dari arah bertentangan dipandu pesara guru berusia 71 tahun tersebut dikatakan tiba-tiba membelok ke simpang kiri,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pegawai perubatan mengesahkan Farid Rizuan yang menunggang motosikal milik abang iparnya itu telah meninggal dunia.
Beliau berkata, lelaki warga emas terbabit yang dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Atas Tol di sini dari sebuah kedai makan berhampiran tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa (Farid Ridzuan) telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut,”katanya. – https://amiminerals.org/