TAWAU – Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kekasihnya yang berusia 13 tahun pada Januari tahun lalu.
Tertuduh warga Indonesia berusia 14 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja itu didakwa menyebabkan kematian mangsa yang juga warganegara sama di sebuah ladang di Jalan Kalabakan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 24 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 10 hingga 14 Februari 2025.-Iteenews