Red Bull gelabah aksi hambar Verstappen

Max Verstappen

VERSTAPPEN sekadar menamatkan perlumbaan GP Bahrain di Litar Sakhir kelmarin di tempat keenam. – AFP

SAKHIR – Suasana tegang menyelubungi pasukan Red Bull selepas pelumba utamanya, Max Verstappen menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain di tempat keenam, pencapaian yang memalukan bagi juara bertahan Formula Satu (F1) itu.

Keputusan mengecewakan itu mendorong pengurusan tertinggi Red Bull mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Christian Horner bersama pengarah teknikal Pierre Wache, penasihat sukan, Helmut Marko dan ketua jurutera, Paul Monaghan.

Mesyuarat itu tertumpu kepada punca kelemahan jentera RB20 yang gagal memberi saingan konsisten di Litar Sakhir sekali gus mencetus kebimbangan besar untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.

“Perlumbaan ini jelas mendedahkan kelemahan yang perlu ditangani segera. Kami berjaya sembunyikan sedikit isu melalui pelarasan tetapan di Suzuka minggu lalu. Namun, untuk mencari penyelesaian sebenar, ia akan mengambil masa,” kata Horner.

Marko pula lebih berterus-terang apabila menyifatkan prestasi pasukan sebagai sangat membimbangkan dan menuntut tindakan segera.

Insiden GP Bahrain bukan sahaja menjejaskan moral pasukan tetapi turut memberi isyarat awal bahawa musim ini tidak akan berjalan semudah sebelumnya buat juara dunia tiga kali itu.

Saingan utama Red Bull dilihat semakin serasi dengan jentera masing-masing, termasuk Lewis Hamilton yang kini berlumba untuk Ferrari selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima iaitu pencapaian terbaiknya sejak menyertai pasukan itu.

“Saya sudah mula faham cara jentera ini berfungsi. Kalau saya boleh layak lebih baik minggu depan, saya yakin hujung minggu akan lebih kuat,” ujar Hamilton yang semakin yakin selepas beberapa sesi perlumbaan. – AGENSI