\’Red\’ Brahman sado dijual RM22,500

3rd lead lembu sado

Nurhaffiz melihat lembu sado baka Red Brazilian Brahman kesayangannya ketika ditemui di Kampung Relong, Lipis semalam.

LIPIS – Selepas berjaya menjual lembu baka Limousin berharga RM30,000 tahun lalu, seorang penternak muda dari Kampung Relong di sini bersedia untuk melepaskan seekor lagi lembu sado baka Red Brazilian Brahman tahun ini.

Nurhaffiz Mohamed, 31, berkata, haiwan kesayangannya bernama ‘Red’ itu akan dilepaskan pada harga RM22,500 untuk tujuan ibadah korban bulan depan.

Menurut pemilik Farm And TT Zhentfarm itu, Red yang berusia empat tahun memiliki berat hampir satu tan sudah sedia untuk dikorbankan.

“Saya beli Red ketika usianya 17 bulan daripada penternak di Negeri Sembilan untuk dibiakkan. Selain minat lembu bersaiz besar, ia (biak) juga menjadi hobi saya. Menariknya saya berjaya mengacukkan Red dengan lembu baka Kedah-Kelantan.

“Hasilnya anak lembu yang dilahirkan bersaiz besar seperti induknya,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Jelasnya, meskipun berat hati untuk melepaskan Red, namun keputusan itu dibuat bagi mendapatkan modal membeli baka lembu lain yang lebih berkualiti. Lembu sado seperti Red dikategorikan ‘lembu kayangan’ yang memerlukan penjagaan rapi.

“Sepanjang berada di bawah jagaan saya, Red diberikan makanan berkualiti seperti rumput napier yang ditanam dan dimesin sendiri, selain dicampur dedak khas bagi membantu tumbesarannya.

“Kebersihan kandang turut dititikberatkan. Red akan dimandikan setiap pagi dan petang bagi memastikan kesihatannya berada pada tahap optimum.

“Ramai yang tidak tahu menjaga lembu sado ibarat menjaga atlet kerana makanan, kebersihan, persekitaran dan kesihatan semua perlu dijaga rapi. Itulah komitmen saya sebagai penternak,” katanya.