PETALING JAYA – “Saya rasa seperti hamba.”
Itu luahan bekas peragawati dan pelakon, Zahnita Wilson, 39, mengenai pengalaman hidupnya selama 20 tahun dengan suami, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46.
Dalam temu bual sebuah program hiburan, air mata Zahnita membasahi pipi sambil menceritakan kesengsaraan yang harus dilaluinya.
“Sudah lama saya sembunyikan perkara ini. Tetapi saya perlu lakukan ini demi anak-anak saya. Saya tak mahu mereka lalui perkara yang saya lalui,”katanya.
Bercerita tentang kehidupannya selama 20 tahun bersama suami, kata Zahnita pada awal perkahwinan lagi dia sudah lalui episod sengsara.
“Saya masih muda ketika itu. Jadi saya teruskan perkahwinan saya dengan harapan suami akan berubah.
“Selepas 13 tahun hidup bersama, baru saya sedar dengan lelaki jenis apa yang sedang saya lalui kehidupan bersama. Saya tahu akan jadi semakin sukar untuk saya bebaskan diri daripadanya.
“Selama hidup dengannya saya didera secara fizikal dan mental. Saya sering dikatakan ibu yang tidak baik. Disebabkan itu juga saya tinggalkan karier saya,”kongsinya.
Disebabkan tekanan hidup, Zahnita mendedahkan dia turut mengalami sakit ‘slipped disc’ kerana sering melakukan kerja-kerja berat.
“Saya pernah beritahu dia (suami) izinkan saya keluar dari rumah, saya janji tak akan laporkan kepada polis apa yang berlaku.
“Dia pernah minta maaf, tetapi keesokan harinya dia tetap lakukan perkara yang sama. Saya rasa seperti hamba. Kenapa dia buat macam ni kepada saya?
“Saya macam tak percaya ini adalah kehidupan saya. Tetapi saya perlu hadap kerana ini adalah takdir saya. Saya buat keputusan yang salah dalam hidup saya, saya perlu laluinya,”luahnya.
Terdahulu, suami Zahnita didakwa atas dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah. – https://amiminerals.org/