Ramai mahu kaya punca percaya scammer

PHOTO 2024 09 08 17 08 45

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu mendedahkan beratus-ratus ribu individu di Asia Tenggara dipaksa terlibat dalam skim penipuan online. – GAMBAR HIASAN

DALAM era moden dan digital ketika ini banyak berkisar kisah antara mangsa dan pemangsa.

Daripada isu jutaan ringgit lesap dikebas scammer, kini beralih pula menjadi mangsa penghambaan maya.

Semuanya bertunjangkan kepada kelicikan sindiket scammer yang menawarkan pekerjaan di luar negara.

Individu yang terjerat tidak ubah seperti ‘buruh terikat’ apabila dimanipulasi dengan pengawasan ketat atau berdepan tindakan kejam jika gagal mencapai ‘target’.

Malah Kosmo! baru-baru turut melaporkan keperitan terpaksa dialami bekas guru sekolah swasta yang diperdagangkan menjadi ahli scammer selama 24 hari.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu mendedahkan beratus-ratus ribu individu di Asia Tenggara dipaksa terlibat dalam skim penipuan online.

Penasihat Kanan Penghijrahan dan Hak-Hak Asasi Manusia Asia-Pasifik, Pejabat Hak-Hak Asasi Manusia PBB, Pia Oberoi turut memaklumkan penjenayah ini mempelbagaikan operasi mereka kerana sumber pendapatan utama berkurang akibat Covid-19.

Tambah Oberoi, ia turut didorong oleh kesempitan ekonomi dihadapi golongan muda kelas pertengahan yang celik teknologi dan berpendidikan tinggi.

“Disebabkan kehilangan pekerjaan, ramai terpedaya dengan janji-janji palsu untuk bekerja dalam skim penipuan tersebut,” katanya.

Menurut pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim pula, perkara itu berlaku ekoran mangsa seolah-olah ‘merelakan diri’ atau terdesak sehingga tidak melakukan semak silang mengenai kesahihan pekerjaan khususnya di luar negara.

Katanya, mereka takjub dengan tawaran gaji yang tinggi di samping kelicikan sindiket menunjukkan kemewahan mampu dicapai sekiranya menerima pekerjaan tersebut.

“Sebelum ini, nasihat telah diberikan berulang kali agar membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada terjebak dengan aktiviti penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia.

“Tawarannya cukup hebat dan menakjubkan, namun berwaspadalah agar jangan mudah terpengaruh dengan tawaran kerja meragukan.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua orang agar tidak mudah terpengaruh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa sebelum ini akan menjadi pemangsa dengan membentuk atau dipaksa pula bekerja dengan sindiket.

Ujarnya, ini disebabkan pengalaman, latihan dan modus operandi dipelajari sebelum yang mungkin boleh diaplikasi dalam pengrekrutan ahli-ahli sindiket.

“Kemungkinan itu sentiasa ada. Mungkin yang bijak pandai ini cuba mendapatkan balik kerugian dialami sebelum ini.

“Jadi, episod mempengaruhi ‘orang-orang baharu’ berlaku sehingga mendatangkan keuntungan atau jana pendapatan mereka,” katanya.

Pokok pangkalnya, kita harus menggunakan akal sihat dan pertimbangkan dengan teliti kerana tawaran pekerjaan yang ‘terlalu indah’ berkemungkinan besar adalah tipu. -https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *