Ramai cari daging lembu, kerbau di pasar Jerantut

PHG Daging Segar 4 010325

ORANG ramai beratur untuk membeli daging lembu dan kerbau segar di Pasar Jerantut semalam. – SALEHUDIN MAT RASAD

JERANTUT – Peniaga di Pasar ­Jerantut, di sini, menyembelih kira-kira 12 ekor lembu dan kerbau sehari bagi memenuhi permintaan penduduk termasuk dari luar daerah menjelang Ramadan.

Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai memenuhi pasar berkenaan bagi membeli daging lembu yang dijual dengan harga RM34 sekilogram, manakala tulang dijual RM28 sekilogram.

Seorang penjual, Shamsul Bahari Mohd. Zakri, 33, menyifatkan Ramadan sebagai bulan rezeki kerana permintaan daging segar meningkat walaupun terdapat saingan dengan ayam.

“Setiap tahun, jualan meningkat. Pada Ramadan, permintaan untuk daging lebih tinggi kerana ramai mahu menyediakan hidangan berbuka bersama keluarga. Hari ini (semalam) sahaja dua ekor kerbau dan seekor lembu habis menjelang tengah hari,” katanya ketika ditemui semalam.

Ujarnya, dia dan peniaga lain akan memastikan bekalan da­ging segar mencukupi untuk menampung permintaan selain menjaga kualiti daging.

Kata Fazrin Zaaba, 42, yang telah berniaga daging di pasar itu lebih dua dekad, Ramadan amat dinantikan kerana jualan daging akan meningkat mendadak.

“Saya sudah biasa dengan suasana yang sibuk di pasar ini setiap kali menjelang Ramadan. Permintaan tinggi memberi peluang untuk kami memperoleh pendapatan tambahan,” katanya.

Ujarnya, jualan boleh mence­cah antara 60 hingga 70 ekor lembu dan kerbau sepanjang Ramadan.

Bagi Nik Sop Hassan, 50, yang telah berniaga sejak lebih 20 tahun lalu, purata jualan daging segar bagi seorang penjual adalah 60 ekor haiwan sepanjang Ramadan.

“Dulu, orang hanya beli beberapa kilogram daging tetapi kini ramai yang beli banyak untuk berbuka dan sahur,” katanya

Sementara itu, seorang pembeli, Fatimah Ahmad, 53, ber­kata, menjadi ‘tradisi’ keluarga­nya setiap tahun untuk membeli daging bagi juadah bersahur dan berbuka pada awal Ramadan. -https://amiminerals.org/