Rakyat Malaysia diseru perkukuh silaturahim – Aaron

WhatsApp Image 2024 10 30 at 17.30.45

Aaron Ago

PETALING JAYA – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia memperkukuh ikatan silaturahim antara satu sama lain tidak mengira agama, bangsa atau budaya dalam semangat Deepavali.

Aaron berkata, Deepavali melambangkan cahaya yang mengatasi kegelapan dan kebaikan yang mengalahkan kejahatan.

“Saya dan seluruh tenaga kerja Kementerian Perpaduan Negara ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

“Istilah Deepavali adalah gabungan dua patah kata ‘Deepam’ yang bermaksud lampu atau cahaya manakala ‘vali’ pula membawa makna arah atau jalan.

“Menyalakan pelita-pelita melambangkan harapan dan kesedaran rohani yang dapat menghapuskan kegelapan dalam kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, Deepavali atau Pesta Cahaya adalah waktu yang sempurna untuk merenung tentang nilai-nilai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat kita.

“Deepavali bukan sahaja dirayakan oleh penganut Hindu, tetapi ia juga merupakan satu kesempatan untuk semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang kita miliki.

“Dalam konteks negara kita yang kaya dengan warisan dan tradisi yang berbeza, adalah penting bagi kita untuk menghormati dan menghargai setiap perayaan yang disambut oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, inilah masanya kita merayakan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara kita dan mengeratkan perpaduan yang telah lama terjalin.

“Keharmonian dan persefahaman inilah asas yang membina negara yang aman dan makmur.

“Moga semangat Deepavali menerangi jalan menuju masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya. – https://amiminerals.org/