Rakyat boleh nilai prestasi penjawat awam mulai Isnin ini – PM

Anwar Ibrahim

Anwar (dua kiri) bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Menteri Melaka dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada sesi Forum dan Dialog sempena Majlis Penutup Program Madani Zon Selatan 2024 Setahun Ekonomi Madani di Dataran UTM, Skudai, Johor Bahru, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat Malaysia menilai tahap perkhidmatan penjawat awam bermula Isnin ini.

Menurut beliau, perkara itu wajar dibuat selepas penjawat awam pelbagai gred bakal menikmati ‘ganjaran’ yang mana ia bersandar kepada prestasi perkhidmatan mereka.

“Semalam saya umum kenaikan gaji dan elaun terbaik dalam sejarah bagi mengiktiraf penjawat awam disebabkan ada penambahbaikan dalam perkhidmatan mereka. Ini ‘reform’ yang kita mahu lakukan.

“Jadi, ada jaminan dalam kalangan penjawat awam bahawa bermula Isnin depan, mereka ini di semua negeri perlu masuk kerja mengikut waktu dan bersungguh-sungguh pikul tanggungjawab.

“Rakyat boleh nilai prestasi mereka dan jika ada kelemahan, ia mesti segera dilaporkan. Kerana bila kita dah bagi kelebihan, mereka kena buat kerja dengan baik. Jika ada kelemahan, ambil tindakan segera untuk jaga nama baik dan imej penjawat awam. Jika tahap perkhidmatan masih macam dahulu buat apa kita beri ganjaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa secara purata, penjawat awam negara ini bakal menerima kenaikan gaji melebihi RM500 selepas berlaku pelarasan gaji baharu. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *