TUMPAT – Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung, di sini hari ini.
Baginda diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Husin dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Aswafaizole Abdul Wahab.
Baginda turut berkenan bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan tunai selain bakul makanan kepada 225 mangsa daripada 63 keluarga yang berada di PPS berkenaan.
Tengku Anis meluangkan masa selama 20 minit untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS berkenaan sebelum berangkat pulang.
Seorang mangsa banjir, Nor Anis Nabila Mazlan, 32, berterima kasih atas keprihatinan Raja Perempuan Kelantan berhubung kesusahan rakyat yang berdepan musibah.
Wanita itu bersyukur kerana paras air mulai surut hari ini dan berharap dapat pulang ke rumahnya di Kampung Kubang Batang di sini selepas seminggu berlindung di PPS bersama suami dan tiga anak.
“Kami akan membersihkan rumah secara ala kadar sahaja kerana mungkin banjir gelombang kedua akan melanda selepas ini. Kawasan rumah kami sentiasa dinaiki air.
“Bagaimanapun, kerja pembersihan tetap akan dibuat. Dokumen penting memang kami simpan rapi sebagai persediaan untuk berpindah kembali ke PPS sekiranya berlaku gelombang kedua banjir,” ujarnya. – https://amiminerals.org/