KUALA LUMPUR – Pembangunan Pusat Data Tier IV di Bagan Datuk, Perak yang dijangka bermula pada suku kedua tahun hadapan berpotensi menjadi pusat simpanan data utama pelbagai agensi kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek berkenaan bakal menjadi infrastruktur strategik milik kerajaan susulan peningkatan teknologi digital yang mendadak.
“Pusat data ini akan menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden, membuka peluang dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, perdagangan elektronik, dan industri teknologi tinggi.
“Fasiliti bertaraf antarabangsa ini juga berpotensi menarik pelaburan asing, khususnya syarikat multinasional, yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucaptama di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Antara Mara Incorporated Sdn Bhd, Felcra Berhad dan Privabytes Sdn Bhd.
Turut hadir, Menteri Besat Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pemilihan kawasan di Bagan Datuk bukan sahaja berpotensi dari segi kedudukannya yang strategik untuk menampung keperluan sebuah data centre
tetapi juga mampu menjadi pencetus perubahan ekonomi di kawasan perdesaan lain yang berhampiran, khususnya di negeri Perak.
“Pastinya, projek ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan, merangkumi pelbagai bidang daripada teknikal, pembinaan hingga ke pengurusan.
“Peluang ini secara langsung akan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat sambil menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang ekonomi baharu,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, majlis itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan ekosistem digital dan ekonomi negeri Perak.
“Melalui kerjasama ini, kita membuka jalan kepada pembangunan infrastruktur digital yang akan membawa negeri Perak ke tahap yang lebih tinggi, selaras dengan visi Malaysia MADANI dan agenda Perak Sejahtera 2030.
“Pusat data bertaraf dunia ini direka untuk menawarkan kelebihan teknologi yang signifikan, termasuk kebolehpercayaan maksimum melalui operasi tanpa gangguan sepanjang tahun, dilengkapi keselamatan tinggi seperti kawalan akses berlapis dan sistem pengesanan ancaman,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Katanya, pusat data itu juga menyediakan teknologi termaju yang menyokong aplikasi moden seperti pengkomputeran awan (cloud computing), analitik data besar (big data analytics), dan kecerdasan buatan (AI). – https://amiminerals.org/