Punca kematian kanak-kanak didera masih belum diperoleh

WhatsApp Image 2024 08 18 at 8.35.47 PM

Kediaman kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang dipercayai maut akibat didera, semalam.

GOMBAK – Punca serta motif kes kematian kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia dipercayai didera di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang, semalam, masih belum diperoleh setakat ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad berkata, proses bedah siasat ke atas mangsa masih lagi dijalankan termasuk soal siasat terhadap suspek.

“Punca kematian mangsa masih belum disahkan setakat ini, urusan bedah siasat masih lagi dijalankan.

“Motif kejadian juga masih belum ada setakat ini, proses soal siasat terhadap ibu dan bapa tiri mangsa masih lagi sedang dijalankan,” katanya hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun ditemui maut dengan kesan kecederaan dipercayai didera di Bandar Tasik Puteri Rawang, di sini, semalam.

Siasatan mendapati terdapat kecederaan pada tubuh badan mangsa dipercayai dilakukan menggunakan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju, dan senjata tumpul.

Pihak polis menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.27 petang.

Rentetan itu, tangkapan berhubung kes tersebut turut dibuat membabitkan pasangan suami isteri tempatan di sebuah kediaman di Bandar Tasik Puteri, di sini, semalam.

Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh. – Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *