PETALING JAYA – Kenderaan elektrik (EV) pertama nasional, Proton e.MAS 7 berjaya menempuhi jarak yang sangat mengagumkan iaitu sejauh 4,020 kilometer (km) laluan seluruh negara melalui Jelajah Proton e.MAS 7 yang bermula Oktober lalu.
Proton menerusi satu kenyataan hari ini berkata, Jelajah Proton e.MAS 7 secara rasmi telah berakhir itu bermula dari Shah Alam, Selangor menuju ke negeri-negeri di selatan, utara, dan pantai timur sebelum kembali ke Lembah Klang untuk mempamerkan bahagian ruang dalaman kenderaan di ACE 2024.
Jelajah tersebut kemudiannya diteruskan ke Sabah dan Sarawak untuk fasa yang terakhir.
“Kenderaan elektrik nasional pertama ini merentasi pelbagai bentuk muka bumi dan landskap di Malaysia, dari jalan yang berliku di kawasan pergunungan di Sabah sehingga ke jalan tar pesisir pantai yang menawan di Terengganu dengan lancar dan tanpa sebarang insiden yang berlaku.
“Secara keseluruhan, Jelajah Proton e.MAS 7 berjaya mencatatkan jumlah jarak sejauh 4,020 km merentasi 13 negeri.
“Proton e.MAS 7 menerima maklum balas positif yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia sepanjang Jelajah e.MAS 7 dan interaksi dengan orang ramai di setiap hentian pengedar membuktikan kegembiraan mereka untuk memiliki kenderaan tenaga baharu yang canggih daripada Proton,”jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, orang ramai kini boleh membuat tempahan e.MAS 7 di pusat pengedar Proton e.MAS di seluruh negara dan di laman web rasmi e.MAS dengan bayaran tempahan sebanyak RM500.
Sebagai alternatif yang lain, anda juga boleh membuat tempahan melalui aplikasi Proton e.MAS yang tersedia di Google Play, Huawei App Gallery, dan iOS App Store.
“Tawaran untuk pembeli awal kini tersedia, dengan Pioneer Privilege Deal yang menawarkan rebat RM500 dan Pioneer Gift Pack bernilai RM1,000 untuk nilai tambah. Tawaran ini sah sehingga ke pelancaran besar Proton e.MAS 7.
“Selain itu, jika anda membuat tempahan e.MAS 7 di KLIMS 2024, anda juga akan menerima Hot Wheels Proton Saga percuma (terhad kepada 200 tempahan pertama),”kata kenyataan itu lagi. – KOISMO! ONLINE.