KUALA LUMPUR – Lebih 32,000 penyaluran prospek berjaya dilaksanakan sejak 2019 sehingga September 2024 kepada pelbagai agensi menerusi Program Social
Synergy melalui Sistem MySynergy.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, sehingga kini lebih 350 agensi yang terdiri daripada agensi kerajaan,
bukan kerajaan, swasta dan wakil rakyat telah memberikan komitmen untuk bersama dalam gagasan Program Social Synergy.
“Kongres Social Synergy 2024 kali ini menyaksikan pengumuman perkhidmatan ‘Social Synergy One Stop Centre’, dimana ketika ini Perkeso merupakan perintis bagi penyediaan kaunter bagi memudahkan prospek mendapatkan bantuan yang sewajarnya merentasi agensi dan berharap agar inisiatif perkhidmatan kaunter ini dapat diperluas kepada rakan sinergi lain.
“Di samping itu, beberapa Memorandum Kerjasama dan Kolaborasi telah dimeterai dan diserahkan melibatkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
(MUIP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ),”katanya ketika berucap merasmikan Kongres Social Synergy di sini hari ini.
Program Social Synergy adalah hasil inisiatif Perkeso dalam usaha mengatasi isu pertindihan dan keciciran bantuan yang dialami golongan sasar di Malaysia sejak
diperkenalkan pada 2017 yang beriltizam menyediakan jaringan keselamatan sosial yang sistematik, komprehensif, holistik dan end-to-end solution melalui kolaborasi
pelbagai rakan strategik di Malaysia.
Dalam pada itu, Subahan turut menyatakan kongres kali ini turut memberi pengiktirafan sumbangan agensi yang komited dalam menjayakan objektif Program Social Synergy melalui Anugerah Social Synergy dalam empat kategori iaitu Agensi Proaktif, Agensi Supportive, Agensi Responsif, dan Agensi Terbaik.
“Besar harapan saya agar Kongres Social Synergy 2024 pada hari ini dapat memantap dan memperkasakan lagi Program Social Synergy agar lebih ramai masyarakat yang boleh dibantu menerusi perkongsian kepakaran daripada pelbagai pihak.
“Saya sekali lagi merakamkan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya hadirin sekalian yang sudi hadir dan menjayakan Kongres Social Synergy 2024 ini,”jelasnya. – https://amiminerals.org/