Program MQSS KPM lahir generasi celik, mahir menghayati al-Quran

adv2 1

OMAR (tengah) bergambar dengan guru-guru pada program MQSS Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Perak pada 30 September lalu.

PETALING JAYA – Program Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 menjadi medan untuk warga pendidik dan murid berkongsi ilmu serta memperkasa kemahiran membaca dan menghayati ayat-ayat suci al-Quran.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh berkata, kemahiran yang ditonjolkan dalam MQSS iaitu pembudayaan al-Quran dan nilai murni bukanlah bersifat pertandingan, tetapi harus digarap dalam kehidupan seharian.

“MQSS bukan sahaja bersifat satu pertandingan atau persai­ngan mencari seorang juara, tetapi harus dibekalkan dengan semangat ukhuwwah yang tinggi, khususnya untuk meneguhkan sifat dan akhlak sedia ada.

“Sehubungan itu, melalui program ini KPM berharap agar matlamat untuk melahirkan ge­nerasi celik al-Quran akan dapat direalisasikan dan dipercepatkan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan MQSS, KPM di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Gopeng, Perak pada 30 September lalu.

Beliau mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

adv1 1
OMAR (tengah) merasmikan Majlis Penutupan MQSS KPM.

MQSS merupakan salah satu daripada program dakwah yang dilaksanakan oleh KPM sebagai aktiviti pembangunan insaniah, modal insan kamil dan pengukuhan kemahiran al-Quran serta syiar Islam dalam arena pendidikan.

Kontinjen Negeri Sembilan mendominasi tiga anugerah utama MQSS, KPM 2024 dengan merangkul Johan Keseluruhan Sekolah Rendah, Johan Keseluruhan Sekolah Menengah dan Johan Keseluruhan MQSS Kebangsaan 2024.

Sekali gus, Kontinjen Negeri Sembilan mengungguli markah keseluruhan dengan mendapat enam johan dan dua naib johan acara.

Omar berkata, pemilihan tema ‘Adab Dan Nilai Menjana Karamah Insaniah’ sangat bertepatan dengan saranan KPM yang terus-menerus menegaskan secara konsisten dan istiqamah tentang kepentingan akhlak.

“Diharapkan semoga lebih ramai lagi anak-anak yang lahir sebagai watak manusiawi dan menjadi penyambung generasi al-Quran yang sarat dengan tanggungjawab memberi manfaat kepada orang lain.

“Selain mempersiapkan diri untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam sebagaimana titipan Rasulullah yang menjadi manusia terbaik akhlaknya dalam kalangan manusia,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada 368 murid yang menjadi peserta dalam 17 acara yang dipertandingkan bagi mewakili negeri masing-masing dan semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut.

“Saya yakin selain ibu bapa, guru-guru juga merupakan individu terpenting yang banyak membantu murid sehingga berjaya ke peringkat tertinggi.

“Di sebalik kejayaan murid dalam sesebuah pertandingan, tentu ada seseorang yang paling banyak berkorban bagi memastikan murid itu berjaya.

adv22 1
KONTINJEN Negeri Sembilan muncul sebagai Johan Keseluruhan MQSS 2024.

“Terima kasih kepada semua guru yang telah memberikan sumbangan besar terhadap kemenjadian murid ini selama ini,” katanya.

Omar juga berharap agar para peserta tidak hanya ­bersungguh-bersungguh me­lakukan persiapan semata-mata untuk pertandingan, tetapi perlu menjadikannya sebagai persiapan menuju ke alam akhirat kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *