Program Ceria Ke Sekolah TNB bawa sinar buat keluarga kurang mampu

TNB 1

Abdul Razak (belakang, tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian daripada penerima bantuan Program CKS TNB 2025di Keramat Jaya.

KUALA LUMPUR – Pagi di Surau Al-Ikhlasiah, Keramat Jaya kelihatan lebih ceria daripada biasa de­ngan ramai kanak-kanak berbaris penuh keterujaan. Dari raut muka, jelas menunjukkan mereka sedang menantikan sesuatu yang amat bermakna.

Sememangnya hari itu lebih istimewa daripada biasa kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah baharu melalui Program Ceria Ke Sekolah (CKS) 2025 kepada mereka yang amat memerlukannya.

Di satu sudut surau, Noraziah Abu Bakar, seorang suri rumah dari Keramat Jaya, tersenyum gembira melihat anaknya memegang beg dan baju sekolah baharu.

“Anak-anak bukan sahaja dapat kelengkapan sekolah, tetapi juga semangat baru untuk belajar.

“Sekurang-kurangnya, ringanlah sikit beban yang kami tanggung. Terima kasih kepada TNB. Kalau ada rezeki, tahun depan bolehlah beri bantuan kepada penduduk di sini lagi,” katanya.

Anak Noraziah adalah antara 100 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) AU Keramat di Keramat Jaya dan Akademi Tahfiz Al-Hidayah yang menerima sumbangan CKS baru-baru ini.

Di sebuah dewan sekolah di Setiawangsa pula, seorang ibu tunggal, Hany Liza Ismail, dilihat menyeka air matanya sambil menggenggam tangan anaknya.

“Saya sebak apabila tahu anak saya terpilih menerima bantuan ini.

“Saya selalu risau bagaimana mahu sediakan semua kelengkapan sekolah dan hari ini, beban itu terasa lebih ringan,” katanya de­ngan suara bergetar.

Di Kupang, Kedah pula, Md. Nahar Adzmi dilihat mengusap kepala anaknya yang kelihatan gembira menggayakan beg baharu.

“Keadaan ekonomi sekarang sememangnya mencabar. Bantuan ini amat bermakna dan cukup untuk meringankan beban kewangan kami. Syukur adanya program se­perti ini oleh TNB,” ujarnya.

TNB MB
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni penerima CKS TNB di Port Dickson, baru-baru ini.

Inilah realiti yang dihadapi ramai ibu bapa daripada keluarga B40, yang terpaksa mengehadkan perbelanjaan setiap awal tahun untuk memastikan anak-anak mereka dapat kembali ke sekolah dengan sempurna.

CKS 2025, satu inisiatif tahunan oleh TNB, hadir sebagai cahaya harapan buat mereka.

Bukan sekadar memberikan beg, pakaian seragam dan alat tulis, program CKS turut melambangkan kasih sayang dan keprihatinan TNB kepada masyarakat.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid, dalam ucapannya pada maj­lis penyerahan bantuan di Keramat Jaya, baru-baru ini menegaskan bahawa pera­nan TNB bukan hanya membekalkan tenaga elektrik untuk membangunkan negara, malah turut membangunkan masyarakat.

“Kami mahu memastikan setiap anak mempunyai peluang belajar tanpa halangan. Pendidikan adalah asas kepada masa depan negara dan kita semua bertanggungjawab menyokong mereka,” katanya.

Menurut beliau, sejak dimulakan pada tahun 2013, CKS telah memberi manfaat kepada 79,565 keluarga di 519 kawasan seluruh negara, dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM12.7 juta sehingga tahun lalu.

Tahun ini, TNB memperuntukkan RM1 juta untuk 66 lokasi di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat bantuan, terutamanya kawasan yang terkesan dengan banjir dan lokasi strategik berkaitan operasi TNB.

“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang prihatin, TNB amat komited terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi fokus kepada pendidikan, alam sekitar, sosioekonomi masyarakat dan sukan.

“Usaha ini selaras dengan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang menjadi panduan kami dalam menjalankan tanggungjawab korporat dengan lebih berkesan,” katanya.

Tambah Abdul Razak, CKS juga adalah sebahagian daripada Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani).

“Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

“Bantuan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi kelegaan besar kepada keluarga serta menyuntik semangat belajar dalam kalangan anak-anak.

“Ini penting kerana pendidikan bukan sahaja asas kepada kemajuan masyarakat, tetapi juga kunci dalam membentuk generasi pe­neraju masa depan,” katanya.

TNB Akmal
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir turut serta dalam penyerahan bantuan CKS TNB di Johor Bahru.

Seiring dengan aspirasi Malaysia Madani, TNB juga terus memperkukuh peranannya dalam membina masyarakat yang lebih inklusif.

Selain CKS, TNB turut melaksanakan pelbagai inisiatif CSR lain seperti Baiti Jannati, Anjung Kasih, Sekolah Amanah TNB dan pembangunan sukan hoki demi manfaat rakyat.

Sementara itu, Pengerusi PIBG SK AU Keramat, Datuk Muhammad Nazari Osman menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah tepat dalam membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

“Program ini bukan hanya memberi kelengkapan sekolah, tetapi juga memberikan motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

TNB bukan sahaja menerangi rumah-rumah di seluruh negara, melalui pelaksanaan Program CKS yang kini memasuki tahun ke-13 penganjuranya, syarikat utiliti nasional itu juga menyinari masa depan anak-anak Malaysia.

TNB sedar pendidikan bukan sekadar hak, tetapi kunci kepada kehidupan yang lebih baik dan penuh harapan.