SHAH ALAM – Sebanyak 20 buah sekolah di seluruh negara terlibat dalam program Aquaculture Aspire dibiayai Agrobank dalam mendedahkan murid dan pelajar terhadap teknologi moden penternakan ikan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sekolah yang terpilih akan mendapat satu kolam berkeluasan 5.49 meter dan 1,500 ekor anak tilapia dengan kos keseluruhan RM15,000.
Katanya, program itu adalah kesinambungan daripada pelancarannya di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
“Program Aquaculture Aspire diperkenalkan untuk mendekatkan anak-anak kita ini terutama sekali dalam program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mengenai teknologi akuakultur.
“Kita bukan sekadar ajar mereka bela ikan, tetapi dedahkan teknologi bioflik iaitu teknologi moden yang dapat meningkatkan hasil penternakan ikan tanpa menukar air selalu,”katanya selepas majlis pelepasan anak ikan Talapia Aquaculture Aspire di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, di sini, hari ini.
Pada majlis itu juga, Mohamad turut menyampaikan Bantuan Wang Persekolahan Agrobank 2025 kepada 200 murid sekolah dalam Parlimen Kota Raja meliputi bantuan kewangan RM150, beg sekolah, alat tulis dan botol air setiap seorang.
Jelas Mohamad, talapia dipilih kerana ikan tersebut mendapat permintaan tinggi dari beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Singapura. – https://amiminerals.org/