TAPAH – Enam nama di peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah yang telah diangkat untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning masih dalam senarai untuk dimuktamadkan.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad secara ringkas memaklumkan tiada di antara keenam-enam calon tersebut telah menarik diri.
“Setakat ini belum, insya-Allah,”katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Perak di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.
Terdahulu, Saarani memaklumkan lapan nama peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah telah diangkat untuk dipilih calon BN dalam PRK DUN Ayer Kuning, namun jumlah itu tinggal enam pilihan kerana dua telah menarik diri.
Katanya, lapan pilihan itu ialah Pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di Bahagian tersebut.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak. – https://amiminerals.org/