Premis tular sorok minyak masak diserbu, tiada lesen jual barang kawalan

minyak paket

Penguat kuasa KPDN ketika melakukan serbuan di sebuah premis di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, Selangor, baru-baru ini. Foto ihsan KPDN

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, Selangor yang dipercayai menyorok bekalan minyak masak peket pada Isnin lalu.

Tindakan itu susulan maklumat tular di media sosial berkaitan seorang peniaga didakwa menyorok bekalan tersebut yang dipercayai dijual kepada pelanggan tertentu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan awal mendapati, premis terbabit menjual barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan barangan runcit lain.

Katanya, premis tersebut didapati tidak mempunyai lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

“Hasil pemeriksaan pasukan serbuan menemukan 84kg minyak masak peket 1 kilogram (kg), minyak masak botol 2kg (7), LPG 14kg (8), gula putih (24kg) selain beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian barang-barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, penguat kuasa KPDN Selangor bertindak menyita kesemua barangan tersebut dan dokumen yang berkaitan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM630.90.

Ujarnya, kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti pembekal barang-barang kawalan premis berkenaan serta rantaian pengedarannya.

“KPDN memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurus niaga dengan barangan kawalan berjadual agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa.

“Ini termasuk mendapatkan lesen borong atau runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta 122 serta tidak menyimpan atau menyorok bekalan barangan terbabit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azman memberitahu, berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah pelaksanaan Ops Tiris 3.0 sejak 1 Januari sehingga semalam bagi minyak masak, sebanyak 386 kes direkodkan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 512,109kg minyak masak bernilai RM2.79 juta berjaya dirampas,” katanya. – https://amiminerals.org/