Prasarana sahkan sistem dalaman diceroboh

hackers

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan berlaku serangan siber yang melibatkan sebahagian daripada sistem dalaman syarikat itu.

Menerusi satu kenyataan Prasarana berkata, pasukan keselamatan siber telah mengenal pasti dan sedang menangani insiden tersebut yang melibatkan akses tanpa kebenaran ke beberapa sistem mereka.

“Kami sedang mengurus dan sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber untuk menyiasat serta mengambil langkah mitigasi.

“Keutamaan kami adalah pada keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam,” kata kenyataan itu, hari ini.

Tambah kenyataan itu, mereka juga mahu mengesahkan bahawa insiden tersebut tidak memberi gangguan terhadap operasi harian Prasarana.

Terdahulu, akaun HackManac di X mendakwa, Prasarana antara senarai menjadi serangan perisian tebusan RansomHub.

Sementara itu, Prasarana berkata, mereka juga sedang bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia untuk memastikan semua langkah telah diambil.

“Usaha kerjasama ini bertujuan untuk memberikan respons yang menyeluruh dan melindungi sistem kami. Kami akan terus memberikan kemas kini dari semasa ke semasa.

“Tumpuan kami kekal pada penyelesaian masalah dengan segera di samping memastikan perkhidmatan kami terus memenuhi keperluan orang awam,” jelasnya. – Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *