Polis buru penyimpan bahan lucah

anieme

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjejak pesalah seksual lain yang terlibat dalam kegiatan penyimpanan bahan pornografi kanak-kanak dan dewasa menerusi Op Pedo yang dijalankan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah berterusan itu dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kita bekerjasama dengan SKMM bagi mengesan dan mendapatkan maklumat berkaitan.

“Polis juga menyiasat lanjut bagi mengenal pasti kegiatan ini melibatkan sindiket atau secara individu selain usaha mengesan pelaku lain untuk tindakan lanjut sedang dilakukan,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan 13 lelaki warga tempatan ditahan selepas pihak polis menemui anggaran 40,000 bahan lucah kanak-kanak (CSAM) dan dewasa dalam serbuan di enam negeri, kelmarin.

Operasi bersepadu atau Op Pedo yang dilaksanakan PDRM bersama SKMM berjaya menahan kesemua suspek di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor, dan Terengganu.

Op Pedo bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melalui aktiviti dalam talian, terutamanya di platform media sosial.

Selain itu, ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat, dan penyedia platform mengenai tanggungjawab melindungi keselamatan kanak-kanak. – https://amiminerals.org/.