KOTA BHARU – Pemilik nurseri atau kebun untuk anak-anak pokok disemai disyaki menjadi dalang kegiatan menyeludup pokok-pokok hiasan dari Thailand untuk dijual di negara ini.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, siasatan awal mendapati, pemilik-pemilik nurseri yang berada berdekatan dengan Sungai Golok di negeri ini berkemungkinan terlibat aktiviti menyeludup pokok-pokok itu.
“Tanaman pokok hiasan untuk landskap dan berpasu seperti bonzai atau orkid merupakan pokok yang paling banyak diseludup kerana harga jualannya tinggi selain sering menjadi buruan pembeli. Pokok hiasan mendapat permintaan yang tinggi terutama di kawasan perumahan baharu, pejabat dan untuk kerja-kerja landskap.
“Harga pokok seludup juga jauh lebih murah berbanding harga biasa yang dijual di kebanyakan nurseri,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, siasatan mendapati, kebanyakan pembeli pokok hiasan seludup terdiri golongan kontraktor landskap, pereka hiasan dalaman dan juga suri rumah.
“Pembeli dipercayai membeli pokok hiasan seludup itu dari nurseri yang berdekatan Sungai Golok secara online. Ada juga pembeli datang ke nurseri-nurseri menawarkan harga murah untuk kegunaan dalam perniagaan atau rumah mereka sendiri.
“Siasatan awal mendapati, pokok-pokok hiasan yang sebelum ini dirampas PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan bukan hanya untuk pasaran Kelantan, sebaliknya ia diedarkan di seluruh Semenanjung,” ujarnya.
Terdahulu, Batalion 8 PGA berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan empat jenis tanaman hiasan orkid, bunga nanas, mayang sari dan bonzai dari Thailand bernilai RM2.52 juta selepas menahan dua buah lori pada Sabtu lalu.
Ujarnya, rampasan pertama dibuat kira-kira pukul 8 malam selepas anggota PGA menahan sebuah lori jenis Hino di Kampung Kubang Rambutan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.
“Pemeriksaan menjumpai pokok citharexylum spinosum (mayang sari) dan juniperus chinensis (bonzai) bernilai RM510,000 tanpa dokumen sah.
“Rampasan kedua pula dibuat membabitkan sebuah jenis lori Hicom di Kampung Lubok Stol, Pasir Mas kira-kira pukul 9.45 malam dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun itu membawa tanaman hiasan jenis orkid dan bromeliad (bunga nanas) seludup bernilai RM2.01 juta,” katanya. -https://amiminerals.org/