PMX, Abiy Ahmed Ali adakan mesyuarat dua hala rapat kerjasama

Anwar bersama Abiy Ahmed Ali di Putrajaya hari ini.

Anwar bersama Abiy Ahmed Ali di Putrajaya hari ini.

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, dalam sesi mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali telah mengenal pasti beberapa lapangan dan linkungan untuk merapatkan kerjasama kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, antaranya adalah perdagangan dan pelaburan, perlombongan, pembuatan automotif, pelancongan serta kesalinghubungan udara dan pertanian.

“Kedua kami turut menekankan kepentingan dalam memperkukuh hubungan ekonomi dengan menggalak serta mencambah perhubungan di sektor swasta dan pelaburan.

“Dalam ruang yang sama, saya turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Abiy atas dukungan Ethiopia kepada Malaysia di peringkat BRICS serta undangan beliau kepada saya untuk kelak berkunjung ke Ethiopia,”tulisnya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

Tambah Anwar, semasa sesi sidang media bersama, beliau turut menelusuri sejarah kenegaraan Ethiopia yang pernah dikenali sebagai Habsyah yang telah menyaksikan penghijrahan pertama kaum Muslimin dari Mekah serta diberi perlindungan oleh Raja Najasyi yang merupakan seorang Kristian.

Justeru katanya, dalam usaha membina tamadun yang kuat dan bermaruah, tentunya cebisan sejarah itu menjadi panduan kepada Malaysia dalam menjamin kesaksamaan, pemerintahan yang adil kepada semua selain menjelmakan kesejahteraan yang menyeluruh.

“Di akhir kenyataan, saya menegaskan betapa pertemuan ini ternyata bukan pertemuan biasa, tetapi adalah pertemuan dalam suasana kekeluargaan dan persahabatan yang erat, selain sebagai sebahagian dari usaha dan upaya kita mencari ruang dan kesempatan demi manfaat rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Ethiopia,”tulisnya. – https://amiminerals.org/