PM hulur sumbangan kepada lelaki hilang tempurung kepala

WhatsApp Image 2025 02 19 at 17.10.20

Zaiton (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan kepada Muhammad Sufi di Taman Jitra Indah, Jitra hari ini.

JITRA – Kesengsaraan seorang lelaki yang kehilangan tempurung kepala akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu meraih perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini tampil menghulurkan sumbangan tunai RM15,000 dan makanan kepada Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Kedah, Zaiton Yahya.

Menurut Zaiton, Perdana Menteri prihatin dengan kesengsaraan yang ditanggung Muhammad Sufi yang mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan tersebut.

“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban Muhammad Sufi yang terpaksa menjalani pembedahan bagi implan tempurung kepalanya pada bulan depan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga lelaki itu di Taman Jitra Indah, di sini hari ini.

Muhammad Sufi yang juga fisioterapis pula berkata, dia terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri yang tampil meringankan bebannya.

“Saya terpaksa menjual daging salai untuk menampung belanja kerana masih cuti sakit. Alhamdulillah sejak tular ramai yang buat tempahan. Saya akan menjalani pembedahan pada 9 Mac ini bagi memasang implan tempurung kepala.

“Sebelum ini saya pernah dibedah untuk memasukkan semula tempurung asal, tetapi tidak berjaya kerana terdapat komplikasi. Pembedahan ini menelan kos RM15,000,” katanya yang turut menerima rawatan psikiatri.-https://amiminerals.org/