PETALING JAYA – Mixue Malaysia Sdn Bhd (Mixue Malaysia) memohon maaf di atas kebimbangan yang timbul berkait penggunaan plastik sampah dilabelkan dengan tulisan tidak sesuai sehingga menimbulkan keraguan status halal di salah satu cawangannya.
Mixue Malaysia menerusi kenyataan menjelaskan, plastik sampah itu dibeli melalui platform dalam talian untuk kegunaan cawangan tersebut, namun didapati bungkusan plastik berkenaan dilabelkan dengan tulisan tidak sesuai dan boleh menimbulkan keraguan.
“Walaupun plastik tersebut hanyalah pembungkusan sampah dan tidak terkait dengan penyediaan makanan, kami mengambil isu ini dengan sangat serius.
“Sebagai sebuah syarikat bertanggungjawab, kami telah mengambil tindakan memohon pelaksanaan proses sertu (pembersihan mengikut hukum syarak) di cawangan terlibat bagi memastikan kebersihan dan pematuhan penuh terhadap standard halal,”menurut kenyataan itu, hari ini.
Mixue Malaysia juga telah menghentikan penggunaan plastik tersebut serta mengkaji semula prosedur pembelian untuk memastikan perkara ini tidak berulang.
Dalam pada itu, Mixue Malaysia menegaskan bahawa semua bahan mentah yang digunakan dalam produk mereka adalah daripada sumber halal serta memiliki sijil halal sah.
“Kami kekal komited untuk memastikan kebersihan, kualiti dan pematuhan halal di semua cawangan kami.
“Kami sekali lagi memohon maaf atas sebarang salah faham yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta kepercayaan berterusan anda,”menurut Mixue Malaysia. – https://amiminerals.org/