PETALING JAYA – Pelaksanaan Program Pusat Komuniti Desa (PKD) dan PKD Mobile memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar, selari dengan moto ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sebanyak 23,714 program PKD telah dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari tahun 2021 hingga 2024 yang memanfaatkan kira-kira 648,502 penduduk luar bandar.
“PKD berperanan dalam lima bidang utama iaitu pelaksanaan latihan kemahiran, program pemerkasaan wanita, aktiviti-aktiviti ekonomi dan kesukarelawan, penyediaan perkhidmatan Kerajaan serta sebagai pusat pengumpulan produk-produk usahawan desa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, walaupun Sarawak hanya mempunyai enam PKD fizikal, kehadirannya tetap signifikan, namun cabaran tetap wujud disebabkan faktor geografi negeri itu yang luas.
“Bagi memastikan perkhidmatan yang lebih inklusif, program PKD Mobile yang diperkenalkan sejak 2023 menjadi medan kementerian menyantuni masyarakat desa secara lebih dekat dan efektif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rubiah berkata, PKD Mobile berjaya merapatkan jurang perkhidmatan kerajaan terutama di kawasan yang jauh dari pusat bandar dan mencadangkan pelaksanaan Mini PKD Mobile bagi lokasi seperti rumah-rumah panjang dan kampung di pedalaman.
“Mini PKD Mobile bersaiz kecil, fleksibel dan dekat dengan komuniti, selaras dengan prinsip keadilan sosial dan Aspirasi Desa MADANI,” ujarnya.
Katanya, objektif utama PKD Mobile adalah memperluas perkhidmatan sedia ada, termasuk perkhidmatan Jabatan dan Agensi Kerajaan serta swasta, dalam bentuk ‘perkhidmatan bergerak’ ke kawasan luar bandar yang terpilih, terutamanya di lokasi yang tidak mempunyai PKD berbentuk fizikal (bangunan kekal) atau lokasi yang terletak jauh dari bandar utama. – https://amiminerals.org/