ALOR SETAR – Sepasukan bomba membantu membawa petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengesahkan kematian seorang warga emas di Kampung Kota Kubang Teduh, di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu kira-kira pukul 8.14 malam.
Katanya, pihak KKM memohon bantuan bomba memandangkan rumah arwah yang merupakan seorang orang kelainan upaya (OKU) berusia 61 tahun ditenggelami banjir sedalam kira-kira satu meter.
“Bukan sahaja rumahnya, malah laluan ke situ juga banyak yang ditenggelami banjir menyebabkan ambulans tidak dapat masuk.
“Justeru pihak kami dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan 1, Ahmad Nozlan Zakaria selaku ketua operasi membawa petugas KKM menaiki kenderaan pacuan empat roda dari Balai Bomba Alor Setar menuju ke lokasi,”katanya di sini hari ini.
Kata beliau, berikutan paras air tinggi ditambah pula dengan keadaan gelap dan laluan sempit, pasukan bomba bersama petugas KKM hanya dapat tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari BBP Alor Setar, setengah jam kemudian
“Setibanya di lokasi, keadaannya cukup memilukan dengan air banjir hampir sama paras dengan katil yang menempatkan jasad arwah. Petugas KKM kemudian mengesahkan warga emas tersebut telah meninggal dunia,”ujarnya.
Tambahnya, arwah difahamkan hanya tinggal bersama ibunya yang sudah uzur berusia lingkungan 80-an di rumah tersebut. – https://amiminerals.org/