PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan terhadap pihak yang terlibat dalam insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang berlangsung di sebuah pusat pameran bayi di ibu negara minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua pihak terlibat bakal melalui proses siasatan sama seperti yang dilakukan terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.
“Itu kemudian selepas kami mengambil tindakan ke atas Sin Chew (kerana) orang awam juga mengangkat insiden yang sama. Mereka juga akan melalui proses yang sama daripada pihak KDN,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Pada Sabtu, penganjur ekspo produk bayi dan salah sebuah pempamernya telah memohon maaf susulan satu lagi insiden melibatkan penggunaan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
Mengulas berhubung siasatan terhadap Sin Chew Daily, Saifuddin berkata, pihak akhbar berkenaan telah memberikan maklum balas mereka kepada KDN semalam.
“Jadi, hal itu masih lagi sedang diteliti sebelum langkah seterusnya dapat kita muktamadkan,” katanya. – https://amiminerals.org/