Piala Cabaran: Kedah hampa, PDRM FC ke pentas final

KEDAH PDRM FC

Kapten PDRM FC, Faith Friday Obilor cuba melepasi asakan pemain KDA FC dalam perlawanan Piala Cabaran di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. – Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Kecekapan penjaga gol PDRM FC, Bryan See membawa pasukan Sang Saka Biru ke pentas final Piala Cabaran musim ini apabila berjaya menghalang sepakan terakhir pertahanan KDA FC, Wan Amirul Afiq.

Ia sekali gus membawa kemenangan 5-4 kepada pasukan itu menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Darul Aman, di sini sebentar tadi.

Pemain gantian PDRM FC, Shafizi Iqmal Md. Khiruddin meranapkan harapan lebih 3,000 penyokong setia tuan rumah yang sudah bersedia untuk meraikan kemenangan.

Dia melepaskan rembatan kaki kanan dari dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim, hanya beberapa saat sebelum pengadil, Kamal Ikhwan Yaacob meniup wisel bagi menamatkan separuh masa kedua.

Berlanjutan ke masa tambahan, penyerang utama pasukan pelawat, Ifedayo Olusegun berjaya melepaskan rembatan yang menewaskan Ifwat pada minit 102. Penyerang dari Nigeria itu bagaimanapun hampa apabila jaringan itu dibatalkan akibat ofsaid.

Kegagalan kedua-dua pasukan menambah jaringan menyebabkan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4.

Kesemua pemain PDRM terdiri daripada Kyaw Min Oo, Shahrel Fikri, Bruno Suzuki, Shafizi dan Badrul Affendy berjaya menyempurnakan sepakan penalti, manakala sepakan terakhir diambil Wan Amirul Afiq buat Sang Kenari berjaya ditangkap kemas Bryan yang merebahkan badan ke kiri gawang. – https://amiminerals.org/